Tuesday, 17 December 2013

PENGENALAN BIDANG LEKSIKOGRAFI

Oleh :  Dr. Ibrahim Ahmad

Perkataan ‘kamus’ daripada prinsip ilmunya lebih dikenal dengan istilah leksikografi. Perkataan leksikografi yang dieja sebagai lexicography dalam bahasa Inggeris, berasal  daripada perkataan Greek ‘lexikos’, yakni kata, dan ‘graphia’ yakni tulisan.. Leksikografi ialah istilah teknikal untuk penulisan kamus. Menurut Samuel Johnson  pula, leksikografi  ‘the art of practice  writing dictionary.’ 

Para penyusun kamus mendakwa bahawa leksikografi bukan suatu aktiviti sains, tetapi  merupakan suatu seni yang tidak terikat dengan sebarang metodologi  linguistik moden. Seperti kata  Gove  (dlm. Kasimi 1977:3), “lexicography is not yet a science. It may never be. It is an intricate and subtle and sometimes over powering art, requiring subjective analysis, arbitrary decision and intuitive reasoning.

Terdapat juga pandangan bahawa leksikografi merupakan  satu cabang linguistik terapan  dan garapannya mencakup teknik dan metodologi penyusunan, seperti yang ditegaskan oleh Harimurti Kridalaksana ( 1985) dan Bo Svensen (1993). Bagi Svenson (1993:1), leksikografi merupakan satu cabang linguistik terapan yang mencakup pemerhatian, pengumpulan data, pemilihan data dan membuat pemerian unit dan stok perkataan serta kombinasi perkataan (frasa) dalam satu atau lebih bahasa.

Selain itu, leksikografi juga mencakup perkembangan dan  deskripsi teori dan kaedah yang menjadi dasar kegiatan penyusunan kamus. Ini melibatkan  bentuk leksikal unit semantik dalam bahasa, biasanya disusun mengikut abjad. Malkiel (1971:363) pula berpendapat bahawa leksikografi, dalam makna yang sempit, merupakan subbahagian linguistik terapan yang berkaitan dengan tenik mengunmpul data leksikal dan mempersembahkannya “...most cogently in reference works and textbooks.”

Ada pendapat yang mengatakan bahawa leksikografi merupakan leksikologi terapan atau aplikasi leksikologi. Pandangan ini ditegaskan oleh  Newell (1995:1) yang berpendapat  bahawa leksikografi merupakan seni merakam hasil kajian leksikologi dalam bentuk kamus. Manakala, Howard Jackson  (2000: 185)  berpendapat bahawa  para  ahli leksikografi “....take  the insight of lexicology and applies them in making their particular descriptuon of the vocabulary of a language.

Terdapat pandangan lain yang lebih ekstrem berbanding pendapat-pendapat di atas, misalnya oleh Wiegand (dlm Hartmann  2000:7). Wiegand (2000:7) menyatakan leksikografi bukannya suatu sains, kemahiran , seni, atau sebahagian linguistik terapan, atau leksikologi terapan, tetapi lebih kepada amalan budaya “....cultural practise’ ‘i.e a calculable, analyzable, checkable, manageable, testable and teachable practical process aimed at producing dictionary to satisfy the reference need of their users.”

Walau apapun tanggapan para sarjana tentang bidang ini, leksikografi merupakan suatu aktiviti profesional dalam bidang yang berkaitan dengan penyusunan kamus. Hal ini bersesuaian dengan konsep kamus sebagai wadah atau “...the repository- of the words of the language. (Howard Jackson 1988: 36). Kamus mendepani lautan kata yang cukup luas yang perlu diselami dan digali untuk mencari pertama yang bernilai di dasarnya (ibrahim Hj Ahmad, 2005: 1), maka diperlukanlah satu ilmu dan kemahiran yang khusus tentang kamus.  


1 comments:

  1. Graphite Titanium Bbbw and Graphite's Pro G Bbw
    Graphite Titanium Bbw and Graphite's Pro titanium vs ceramic flat iron Gbw. samsung titanium watch The two titanium pen of the most important components of the graphite and titanium 3d printer the Pro titanium glasses frames gbw. With Graphite, we can be sure

    ReplyDelete