Thursday, 23 October 2014

BAHASA BUKAN VERBAL DALAM BIDANG KESANTUNAN MELAYU

Oleh :

ARIFAH BT AZMI                           (JEA 060017) 
NOOR ’ ASHIKIN BT SAAD           (JEA 060140)
NOR SYAKILA BT ABDULLAH     (JEA 060165)

Abstrak 

Kesantunan (politiness), kesopansantunan, atau etiket adalah tatacara, adat, atau kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat. Kesantunan merupakan aturan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama oleh suatu masyarakat tertentu sehingga kesantunan sekaligus menjadi prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial. Komunikasi bukan verbal adalah proses komunikasi dimana pesan disampaikan tidak menggunakan kata-kata. Contoh komunikasi bukan verbal ialah menggunakan gerak isyarat, bahasa tubuh, ekspresi wajah dan kontak mata, penggunaan objek seperti pakaian, potongan rambut, sentuhan, dan sebagainya, simbol-simbol, serta cara berbicara seperti aspek paralinguistik iaitu intonasi, penekanan, kualiti suara, gaya emosi, gaya berbicara ruang dan jarak, serta waktu.   

Dalam komunikasi lisan, kedua-kedua simbol itu muncul bersama kerana sifatnya saling mendukung dan melengkapi.  Fungsi utamanya adalah untuk menunjukkan sikap dan emosi yang sebenarnya daripada pembicara dan pendengar.  Dalam kesantunan tatacara berbahasa selalu dikaitkan dengan penggunaan bahasa sebagai sistem komunikasi, maka selain unsur-unsur verbal, unsur-unsur bukan verbal yang selalu terlibat dalam berkomunikasi perlu diperhatikan. 

Pemerhatian unsur-unsur ini juga dalam rangka pencapaian kesantunan berbahasa.  Gerak tangan, anggukan kepala, gelengan kepala, kedipan mata, dan ekspresi wajah seperti murung dan senyum merupakan unsur kinesik (atau ada yang menyebut gesture, gerak isyarat) yang juga perlu diperhatikan ketika berkomunikasi. Apabila penggunaannya bersama dengan unsur verbal dalam berkomunikasi, fungsinya sebagai memperjelaskan  unsur verbal.   

Namun, yang perlu diperhatikan dalam konteks ini adalah kinesik atau gerak isyarat (gesture) dapat dimanfaatkan untuk menciptakan kesantunan berbahasa, dan dapat pula disalahgunakan untuk menciptakan ketidaksantunan berbahasa.  Unsur paralinguistik, kinesiks, dan proksemik  yang sesuai dengan situasi komunikasi diperlukan dalam penciptaan kesantunan berbahasa.   

Pengaturan ketiga unsur ini tidak kaku kerana berbeza setiap konteks situasi.  Yang penting, bagaimana ketiga unsur ini boleh  menciptakan situasi komunikasi yang tidak menimbulkan salah faham dan tersinggung kepada pihak yang diajak berkomunikasi. 

1.0  Pendahuluan 

Kesantunan boleh  dipancarkan melalui tingkah laku dan berbahasa. Menurut
Goffman, kesantunan berbahasa ialah ekspresi wajah seseorang dalam komunikasi. Untuk berkomunikasi secara santun setiap orang memperlihatkan dua jenis ekspresi muka, iaitu ekspresi positif dan ekspresi negatif.  Grice pula berpendapat kesantunan bahasa berlaku apabila setiap orang mematuhi beberapa peraturan yang terdapat dalam prinsip komunikasi, iaitu prinsip kualiti, prinsip kuantiti, prinsip perkaitan, dan prinsip cara.  

Dalam masyarakat Melayu, kesantunan dapat dilihat dalam interaksi antara individu dengan individu lain dalam komunikasi. Bangsa Melayu juga terkenal dengan kesantunannya yang banyak dipengaruhi oleh budaya dan agama Islam. Budi bahasa dan kesopanan semasa kita berwacana akan menjadi titik penentu lambang dan citra diri dan sahsiah kita yang sebenarnya.

Oleh itu, kesantunan dan ketatasusilaan amat penting semasa berkomunikasi dan sudah pasti melibatkan penggunaan bahasa. Bahasa yang dimaksudkan bukannya merangkumi lisan dan tulisan semata-mata tetapi juga yang bersifat bukan verbal seperti unsur perlambangan dan gerak tubuh individu turut memainkan fungsi terhadap penghasilan citra seseorang. Daripada citra itulah lambang kekuatan dan ketamadunan atau kelemahan dan kekurangan sesuatu bangsa dan negara itu dapat dikenalpasti. 

Komunikasi jenis ini tidak melibatkan suara. Prosesnya adalah secara bertulis, bercetak ataupun melalui penggunaan isyarat, simbol dan pergerakan anggota badan. Pengkaji berpendapat bahawa komunikasi bukan lisan terutamanya yang menggunakan gerakan anggota badan (tangan, badan, kontak mata, dan mimik atau air muka) lebih memberi mesej yang bermakna dari perkataan-perkataan yang diucapkan. Sehubungan dengan ini komunikasi jarak, komunikasi melalui pakaian, melalui bau dan lain-lain lagi, juga memberi kesan di dalam perhubungan harian indvidu dengan masyarakat sekeliling terutamanya di dalam organisasi.

1.1  Objektif kajian

Megenalpasti unsur-unsur bahasa bukan verbal  dan kategori-kategorinya.
Mengaitkan bahasa bukan verbal dalam kesantunan masyarakat  Melayu. 
Menilai sejauhmana bahasa bukan verbal ini berkepentingan dlm menyampaikan maksud di sebaliknya.

1.2  Batasan Kajian

Pengkaji membataskan kajian  kepada bahasa bukan verbal sahaja. Selain itu juga  dengan melihat penggunaan bahasa bukan verbal dalam kesantunan masyarakat Melayu dan menjelaskan mengapa perilaku itu dikatakan santun daripada pandangan masyarakat Melayu itu sendiri.  Di samping itu pengkaji hanya melihat aspek2 yang berkaitan dengan kesantunan dalam bentuk bahasa bukan verbal sahaja dan aspek-aspek yang mencakupi bahasa bukan verbal itu sendiri iaitu aspek paralinguistik, kinesiks, dan ciri-ciri luar yang merangkumi bahasa bukan verbal dalam kesantunan bahasa Melayu.

1.3  Metodologi Kajian

Bagi melakukan kajian ini kaedah yang sesuai perlu digunakan untuk membuat kajian berkenaan dengan unsur estetika dalam karya sastera. Kaedah yang digunakan iaitu kaedah kepustakaan.  Kajian kepustakaan adalah bertujuan untuk mencari data dan maklumat dalam bentuk bahan bercetak dan tidak bercetak. Bahan-bahan yang diperolehi melalui kaedah kepustakaan ini adalah merupakan bahan-bahan secondary.  Bahan bercetak yang digunakan oleh pengkaji untuk mendapatkan maklumat ini ialah buku, kamus, dan  jurnal manakala bahan tidak bercetak yang digunakan sebagai rujukan ialah tesis, kertas kerja, dan latihan ilmiah.

Selain itu, pengkaji juga mendapatkan maklumat-maklumat semasa dan terkini yang berkaitan dengan  estetika dalam  karya sastera melalui internet. Maklumat-maklumat yang diperolehi daripada semua sumber ini digabung dan diolah mengikut kesesuaian kehendak tugasan. Pengkaji melakukan kajian kepustakaan ini di Perpustakaan Utama Universiti Malaya, Perpustakaan Peringatan Za’ba, dan Perpustakaan Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya.

Kaedah kepustakaan ini digunakan untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan estetika melalui penulisan para pengkaji dan juga hasil-hasil  kajian mereka yang telah dibukukan, maklumat yang diperolehi akan diolah dan diaplikasikan dalam bentuk yang lebih berkesan.

0 comments:

Post a Comment