Wednesday, 22 October 2014

BAHASA MELAYU LISAN - PENYAMPAIAN BERITA

Oleh :

Nama ahli -

: Mastura A’shaari                      (JEA090807)
: NoorShahida Bt Mat Shahidi   (JEA090070)
: Nur Azimah Bt Mohd Bukhari  (JEA090103)
: Nur Shakirah Bt Mohd Azizan  (JEA090111)  

Nama pensyarah : Dr. Ibrahim Bin Ahmad
Sesi : 2011/2012 – ( Semester 2)

1. Pengenalan

Apa itu bahasa?..Seperti yang kita ketahui bahawa, bahasa itu memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat untuk menyampaikan  sesuatu maklumat. Terdapat pelbagai definisi telah diberikan terhadap perkataan  “bahasa”. Perkataan ini dikategorikan dalam kelas kata nama.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2008 : 106)  bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia ( antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya).

Manakala Broch & Trager (1942) mendefinisikan bahasa sebagai satu sistem lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan oleh anggota masyarakat untuk berhubung. Nik Safiah Karim (1981) mendefinisikan bahasa  berfungsi sebagai alat perhubungan, menyatakan buah fikiran, melahirkan perasaan, dan menjayakan aktiviti harian.  Melalui bahasa kita berkomunikasi, meluahkan perasaan, menyampaikan ilmu, mengungkapkan keindahan, dan mewarisi ilmu, peradaban dan agama.

Bahasa Malaysia  yang disebut sebagai bahasa Melayu dalam Perlembagaan 152   fasal (1)  menggariskan bahawa :

‘bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah di-tulis dalam apa-apa tulisan sa-bagaimana yang di-peruntokkan dengan undang-undang parlimen’  

Setiap bahasa di dunia ini mempunyai struktur yang tersendiri dan berbeza antara satu bahasa dengan satu bahasa yang lain. Misalnya struktur bahasa Inggeris berbeza dengan struktur  bahasa Melayu, bahasa China berbeza dengan struktur bahasa Tamil dan begitu juga antara bahasa- bahasa yang lain.

Terdapat beberapa ciri bahasa yang telah dikenal pasti, antaranya ialah bahasa merupakan suatu sistem yang teratur, suatu sistem lambang yang bermakna, bersifat arbitrari iaitu tiada hubungan  dengan perkara yang dilambangkan, bahasa bersifat universal, dan mempunyai variasi. Variasi dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu ideolek yang bermaksud ragam bahasa individu dan dialek  merujuk kepada ragam bahasa kawasan dan kelompok sosial.

Manusia menggunakan bahasa untuk berinteraksi antara satu sama lain. Manusia boleh menyampaikan sesuatu maklumat kepada seseorang dengan menggunakan medium lisan ataupun tulisan.

Antara  contoh medium lisan ialah ceramah, pidato, khutbah, seminar, penyampaian berita  dan sebagainya, manakala medium tulisan pula seperti novel, cerpen, laporan, dan pelbagai lagi.

Seseorang akan memilih medium yang sesuai dengan maklumat yang ingin disampaikan kepada pendengar  supaya mesej yang ingin disampaikan itu tercapai. Selain menjadi alat untuk berkomunikasi antara pendengar dan penutur, bahasa juga digunakan ketika hendak menyampaikan berita. Bahasa lisan dalam pemberitaaan yang disampaikan  di corong-corong radio dan televisyen bertujuan untuk menyampaikan sesuatu perkara atau maklumat.

2.0 Ciri-ciri bahasa lisan

Bahasa lisan merujuk kepada “ragam yang digunakan dalam pertuturan iaitu, sewaktu bercakap”. Bahasa Melayu lisan juga merupakan  bentuk komunikasi bahasa secara pertuturan, yang ditandai dengan ciri-ciri ulangan dan hentian.

Bahasa Melayu lisan adalah bahasa yang tertua  sebelum bahasa tulisan diperkenalkan. Terdapat tiga jenis bahasa lisan iaitu pertama bahasa lisan subbaku. Bahasa lisan ini terkawal, ada unsur  tempatan, atau individu.

Seterusnya,  bahasa lisan umum pula mempunyai unsur  bahasa basahan seperti kependekan dan ganti nama  yang kurang rasmi, tetapi masih kekal bentuk panggilan hormat dan bersopan. Jenis bahasa lisan yang terakhir ialah bahasa lisan terkawal yang diungkap dalam konteks rasmi, menggunakan bahasa terkawal, sistem panggilan, nahu dan intonasi dipentingkan.

Terdapat beberapa ciri bahasa lisan, antaranya yang pertama ialah mempunyai unsur spontan/ kurang terancang ( salah mula, teragak-agak, hentian seketika). Sebagai contoh, “ saya lewat datang kelas hari ini kerana aaa…. terlepas bas”. Unsur singkatan wujud dalam pertuturan tidak formal.

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh faktor ekonomi yang mempengaruhi penggunaan singkatan. Kegagalan mencari kata yang tepat, lupa akan nama sesuatu menyebabkan keadaan yang teragak-agak atau hentian seketika. Terdapat proses pengulangan leksikal  yang mempunyai pelbagai fungsi seperti penegasan, fokus dan hubungan ayat. Sebagai contoh, “awk..awk.. saya sayang awk..”, atau…contoh kedua ialah “nanti..nanti..nanti..tunggu saya..”

Ciri bahasa lisan yang kedua iaitu  peka konteks  dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti  terikat pada pengetahuan yang dikongsi bersama,  kerap guna rujukan eksoforik,  elipsis atau pengguguran dan  penanda tautan. Unsur konteks bersifat peka konteks iaitu tafsiran sesuatu ujaran bergantung pada konteks ujaran.

Objek persekitaran dirujuk dengan pelbagai kata ganti nama. Penulis harus wujud konteks kepada pembaca agar tidak salah tafsir dan ayat hendaklah jelas dan haruslah menggunakan penanda tautan untuk kata penghubung seperti namun, kerana dan lain- lain lagi.

Ciri yang ketiga ialah bahasa lisan kurang eksplisit iaitu bahasa ini bergantung kepada  pegetahuan yang dikongsi bersama. Ciri yang keempat ialah semua peserta yang terlibat dalam sesuatu teks, wujud pengambilan giliran, dan gangguan tindanan. Kita tidak boleh bercakap serentak ketika berinteraksi antara satu sama lain, tetapi mesti membiarkan seseorang itu menghabiskan dahulu kata-kata terakhirnya. Hal ini demikian kerana,  supaya sesuatu komunikasi itu  dapat berjalan dengan lancar dan maklumat yang dibicarakan dapat difahami antara satu sama lain.

Ciri bahasa lisan yang keempat ialah bersifat multilog iaitu perbualan bersahaja yang melibatkan lebih daripada dua orang penutur. Ciri yang kelima pula ialah teks formal atau mesra iaitu ketika berinteraksi terdapat panggilan mesra diberikan kepada individu tertentu mengikut kesesuaian umur.

Unsur-unsur mesra ini bebas dalam komunikasi, contoh panggilan  mis, cik, encik, dan sebagainya . Sebagai contoh, “Cik Zaleha mahu pergi ke mana malam-malam ni?”, contoh kedua “Boleh tak I nak pinjam kereta u?” Ciri yang keenam ialah bahasa lisan merupakan bahasa bukan kerjaan/ verbal ( gerak isyarat/ gesture, postur, mimik muka). Gestur ialah bahasa non verbal untuk memaparkan  mood dan sikap  seseorang penutur  dalam pertuturan.

Gestur ialah gerak geri tangan , mimik  muka, air muka dan sebagainya, contohnya terkejut dan marah.  Ciri yang ketujuh ialah paralinguistik iaitu ciri bukan linguistik  yang tidak bersistem yang mengiringi pertuturan dengan ciri prosodi seperti nada, tekanan, tona dan jeda.

Ciri seterusnya ialah bahasa lisan merupakan bahasa yang kurang baku. Antara bahasa kurang gramatis ialah dialek, sosiolek, pemendekan, penukaran kod/ alih kod. Seterusnya menggunakan kelainan bahasa atau bahasa lain  bergantung pada hakikat  dengan siapa seseorang itu bercakap atau di mana dia bercakap seperti selang- seli bahasa baku dengan dialek atau bahasa Melayu dengan bahasa  Inggeris.

Ciri bahasa lisan yang kesembilan ialah kerencaman nahu iaitu  struktur  ayat yang kurang kompleks atau ayat atau klausa yang tergantung, ulangan klausa atau ayat. Fungsi kerencaman nahu ini untuk mengungkap idea secara spontan dan pertuturannya memungkinkan pendengar  memahaminya. Sebagai contoh , “ke mana kau hendak pergi?”  Ciri yang seterusnya ialah mempunyai unsur kenahuan iaitu bahasa lisan tidak memperlihatkan penggunaan bahasa yang lengkap dan betul dan kurang gramatis.

Sebagai contoh , “Abu pi kedai “ ( Abu pergi ke pasar). Selain itu, bahasa lisan mempunyai unsur leksikal yang kurang padat dan unsur kosa kata  harian dan yang kurang khusus. Ciri terakhir bahasa lisan ialah terdapat unsur rasmi  iaitu menggunakan kata ganti nama bagi menandakan unsur pertuturan rasmi terkawal, contohnya  Yang berbahagia, Dato/ Datin.

Proses produksi suara pada manusia dapat dibahagikan kepada  tiga  proses fisiologis, iaitu  pertama  pembentukan aliran udara dari paru-paru, kedua, perubahan aliran udara dari paru-paru menjadi suara, baik voiced, maupun unvoiced yang dikenal dengan istilah phonation, dan yang terakhir  artikulasi iaitu proses modulasi atau  pengaturan suara menjadi bunyi yang spesifik. Organ tubuh yang terlibat dalam  proses produksi suara adalah  paru-paru, tenggorokan (trachea), laring (larynx), faring (pharynx), pita suara (vocal cord), rongga mulut (oral cavity), rongga hidung (nasal cavity), lidah (tongue), dan bibir (lips).

Alat –alat pertuturan manusia akan menghasilkan dua jenis bunyi iaitu bunyi bahasa dan bukan bahasa iaitu gerak tubuh. Bunyi bahasa terhasil daripada alat-alat pertuturan manusia. Terdapat 3 jenis bunyi bahasa iaitu vokal, konsonan dan bunyi diftong. Bunyi bukan bahasa juga  dihasilkan oleh alat-alat pertuturan tetapi mesej yang ingin disampaikan tidak akan difahami sepenuhnya oleh pendengar,  contohnya bunyi batuk, berderham, pergerakan tangan dan pelbagai lagi.  Bunyi vokal dihasilkan tanpa halangan, sekatan ataupun sisihan pada arus udara yang dikeluarkan oleh paru-paru. Terdapat 8 jenis bunyi vokal iaitu enam vokal asli dan dua vokal pinjaman.


0 comments:

Post a Comment